Hasil Carian Hadis Terjemahan Melayu
HASIL CARIAN BAGI PERKATAAN/FRASA ayat kursi BERJAYA MENCAPAI 52 HADIS DARI KOLEKSI SAHIH BUKHARI

21  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1180.
Dari Abdullah bin Abbas r.a., katanya: Saya selalu ingin bertanya kepada Umar r.a. tentang dua orang isteri Nabi s.a.w, yang Tuhan telah berfirman tentang mereka berdua: "Jikalau engkau berdua bertaubat kepada Tuhan, maka memang hati mu telah cenderung untuk melakukan hal itu" (At-Tahrim, 4), sampai pada suatu kali ia pergi naik haji dan saya juga ikut naik haji dengannya. Ketika kami sedang dalam perjalanan, Umar menyimpang dan saya pun ikut menyimpang sambil membawa sebuah tempat air. Lalu ia buang air. Kemudian ia datang kepada saya, lalu saya tuangkan air ke tangannya dan ia pun berwuduk'. Saya berkata: "Ya Amirul Mu'minin! Siapakah dua orang isteri Nabi s.a.w. yang disebutkan oleh Allah dalam ayat: "Jika engkau berdua bertaubat kepada Tuhan maka memang hati mu telah cenderung untuk melakukan hal itu?" Umar menjawab: "Anda sangat hairan tentang hal ini, hai Ibnu Abas! Mereka itu adalah Aisyah dan Hafsah." Kemudian Umar melanjutkan ceritanya: Dia berkata: "Saya tinggal di kampung Umayyah bin Zaid dipinggir tepi kota Madinah. saya mempunyai tetangga seorang Ansar kami berganti-ganti pergi kepada Rasulullah s.a.w. Suatu hari ia pergi dan hari berikutnya saya pergi. Kalau ia yang pergi ia menceritakan kepada saya tentang wahyu yang turun dan berita-berita lain. Demikian pula keadaannya kalau saya yang pergi."Kami orang Quraisy adalah golongan yang berkuasa atas wanita. Ketika kami datang ke Madinah kami dapati orang-orang di sana sangat dikuasai wanita. Maka mulailah para wanita kami belajar dari wanita mereka. Pada suatu hari saya marah kepada perempuan saya, Lalu ia mulai menjawab perkataan saya. Saya berkata bahawa tidak boleh wanita membantah perkataan suaminya, Isteri saya menjawab: "Apakah saya tidak boleh menjawab perkataan mu? Demi Allah, para Isteri Nabi saw. sendiri menjawab perkataan Nabi. Malah ada salah seorang daripadanya yang tidak mahu mendekat kepada beliau dari siang hari sampai malamnya." Saya terus ke luar rumah dan terus pergi ke rumah Hafsah. Saya berkata kepadanya: "Apakah kamu berani menjawab perkataan Rasul s.a.w"?" Ia menjawab: "Ya!" "Dan ada salah seorang dan kamu yang sampai tidak mengindahkan beliau dari siang hari sampai malamnya?" Jawabnya: "Ya!" "Siapa yang melakukan hal itu di antara kamu, sesungguhnya telah celaka dan merugi. Apakah di antara kamu ada yang merasa tenteram dimarahi Allah kerana Rasulullah s.a.w. marah kepadanya? Orang yang seperti itu sebenarnya telah hancur. Janganlah kamu menentang perkataan Rasulullah s.a.w. dan jangan kamu minta apa-apa kepadanya. Kalau engkau perlu apa-apa mintalah wang kepada ku. Janganlah engkau merasa sakit hati seandainya tetangga mu (maksudnya Aisyah r.a.) lebih cantik dari mu dan lebih dicintai oleh Rasulullah s.a.w." Di waktu itu kami berbincang-bincang bahawa orang Ghassan sedang mempersiapkan kuda-kudanya untuk menyerang kami. Maka pada suatu hari tetangga saya pergi kepada Rasulullah s.a.w. dan ia kembali pada waktu malam. Ia mengetuk pintu saya keras-keras dan memanggil nama saya. Saya pergi ke luar, untuk menemuinya. Ia berkata: "Ada suatu peristiwa penting terjadi." Saya bertanya: "Apakah yang telah terjadi? Apakah orang Ghassan telah menyerang?" Ia menjawab: "Jauh lebih penting dari itu. Rasulullah s.a.w. telah menceraikan isteri-isterinya." Saya berkata: "Hancur dan rugilah Hafsah! Saya telah menduga bahawa hal ini akan terjadi." Saya pun berpakaian dan berangkat. Saya solat Subuh bersama s.a.w. Setelah selesai solat beliau masuk ke kamar khusus dan menyendiri di sana. Saya pun masuk ke dalam rumah Hafsah dan saya dapati ia sedang menangis. Saya bertanya kepadanya: "Apakah kamu semua telah diceraikan Rasulullah s.a.w"?" Ia menjawab: "Saya tidak tahu. Ia sedang menyendiri di kamar makan." Lalu saya ke luar rumah dan pergi ke mimbar masjid. Saya dapati di dekat mimbar itu sejumlah orang sedang duduk-duduk dan sebahagiannya menangis. Saya duduk di tempat itu sebentar. Kemudian saya tidak dapat menahan perasaan saja, maka saya datang ke kamar makan di mana beliau berada. Saya datang kepada seorang pembantu berkulit hitam dan berkata kepadanya. "Tolong mintakan izin Umar hendak masuk," Pembantu itu masuk kemudian ke luar kembali. Ia berkata: "Saya telah menyebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." Kemudian saya bergegas pergi dan duduk bersama orang-orang yang di dekat mimbar. Saya tidak dapat menahan perasaan saya, lalu saya datang sekali lagi kepada pembantu laki-laki hitam itu dan berkata: "Tolong katakan Umar minta izin untuk masuk." Pembantu itu masuk ke dalam lalu ke luar kembali. "Saya telah menyebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." katanya. Lalu saya kembali ke luar dan pergi ke mimbar. Kemudian saya tidak dapat menahan perasaan saya dan pergi sekali lagi kepada pembantu berkulit hitam itu: "Tolong katakan bahawa Umar minta izin untuk masuk." Ia masuk ke dalam, lalu ke luar kembali. "Telah saya sebutkan nama anda, tetapi beliau diam saja." Saya pun bergegas pergi. Tetapi tiba-tiba pembantu itu memanggil saya: "Anda telah diberi izin untuk masuk!" Maka saya pun masuklah dan memberi salam kepada Rasulullah s.a.w. Saya dapati beliau tidur dengan tangan ditopangkan ke kepala diatas sehelai tikar kasar, sehingga kelihatan bekas tikar itu di sisi beliau. Saya berkata: "Ya Rasulullah s.a.w. Apakah anda telah menceraikan isteri-isteri anda?" Rasul mengangkat kepalanya ke arah saya dan menjawab: "Tidak!" Lalu saya berkata: "Tuhan Maha Besar! Bagaimanakah pendapat engkau, ya Rasulullah? Kita orang Quraisy ini adalah suatu golongan yang berkuasa atas wanita. Sewaktu kita datang ke Madinah, kita dapati mereka itu adalah golongan yang dikuasai oleh wanita." Umar meneruskan ceritanya. Nabi s.a.w, tersenyum. Kemudian saya berkata (Umar meneruskan ceritanya): "Bagaimanakah pendapat tuan ketika saya masuk ke tempat Hafsah dan saya berkata: "Janganlah engkau terpedaya oleh tetangga mu yang lebih cantik dari mu dan lebih dikasihi oleh Nabi (maksudnya Aisyah)?" Beliau tersenyum sekali lagi. Kemudian saya perhatikan keadaan dalam kamar beliau itu. Demi Allah, tidak ada yang menarik perhatian di dalam kamar itu selain dari tiga tempat simpanan air dari kulit. Saya berkata: "Berdoalah anda kepada Tuhan agar Ia memberikan kelapangan kepada ummat anda. Orang-orang Persia dan Romawi telah diberi kelapangan. Kepada mereka diberikan dunia, padahal mereka tiada Tuhan." Ketika itu beliau sedang bertelekan dan beliau bersabda: "Masih ragukah engkau hai anak Khattab? Mereka itu adalah golongan yang dicepatkan mendapatkan keberuntungan hidup di dunia." Saya berkata: "Ya Rasulullah! Tolonglah minta ampunkan saya!" Beliau merasa kesal kerana suatu kejadian, di mana Hafsah menceritakannya kepada Aisyah. Beliau bersabda: "Saya tidak akan masuk ke rumah mereka selama sebulan." Tuhan mencela beliau, kerana beliau terlalu marah kepada mereka. Setelah berlangsung selama dua puluh sembilan hari, beliau masuk ke rumah Aisyah. Aisyah berkata kepada beliau: "Tuan bersumpah tiada akan masuk ke rumah kami selama satu bulan. Menurut perhitungan saya, baru dua puluh sembilan hari." Nabi menjawab: "Bulan ini dua puluh sembilan hari!" Dan memang pada waktu itu bulan adalah dua puluh sembilan hari. Aisyah berkata: "Maka turunlah ayat pilihan (takhyir). Pertama-lama beliau mulai dengan saya. Beliau berkata: "Saya ingin mengingatkan kepada mu satu hal. Kamu tidak perlu menjawabnya sekarang juga. Kamu boleh bermusyawarat dahulu dengan kedua orang ibu-bapa mu." Aisyah menjawab: "Saya tahu bahawa kedua orang ibu-bapa saya belum pernah menyuruh saya agar bercerai atau berpisah dengan tuan. Kemudian beliau bersabda: "Sesungguhnya Tuhan telah berfirman: "Hai Nabi! Katakanlah kepada para isteri mu: Kalau kamu semuanya menghendaki kehidupan dunia dan kemewahannya, maka marilah saya akan memberikan kesenangan kepada kamu dan saya akan melepaskan atau menceraikan kamu dengan cara yang sebaik-baiknya. Tetapi jikalau kamu menghendaki Allah dan RasulNya serta kampung akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan untuk wanita-wanita yang berbuat baik di antara kamu pahala yang amat besar (Surat al-Ahzab. 28 - 29). Saya menjawab: "Apakah dalam hal ini saya harus bermusyawarat dengan ibu-bapa saya? Saya menghendaki Tuhan, RasulNya dan kampung akhirat." Kemudian beliau memberikan kebebasan memilih ini kepada semua isteri beliau. Semuanya menjawab sama dengan jawaban Aisyah.

22  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1237.
Dari Aisyah r.a., katanya: Nabi s.a.w. mendengar seorang laki-laki membaca Quran dalam masjid. Beliau bersabda: "Kiranya Allah memberi rahmat kepadanya! Ia mengingatkan saya akan ayat ini dan ayat itu yang saya lupa memasukkannya dalam surah ini dan surah itu". Abbad bin Abdullah r.a. menambahkan dari Aisyah r.a.: Nabi s.a.w. tahajjud di rumahku dan beliau mendengar suara Abbad sedang solat dalam masjid. Beliau bersabda: "Hai Aisyah! Suara Abbadkah ini?" Jawab ku: "Ya!" Sabda beliau: "Ya Tuhan, kasihilah kiranya Abbad!"

23  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0105.
Aisyah r.a. menceritakan "Apabila para isteri Nabi hendak buang air pada malam hari, mereka pergi ke tanah lapang Umar (bin Khaththab) mengusulkan kepada Nabi, supaya menyuruh para isteri beliau memakai hijab (tabir). Tetapi Rasulullah SAW. Tidak berbuat apa-apa. Pada suatu malam Saudah binti Zamaa, isteri Rasulullah, keluar waktu Isyak, dan dia adalah seorang wanita yang tinggi perawakannya. Lalu Umar menyapanya, 'Hai, kami mengenal engkau, hai Saudah! "Dia menyapa kerana sangat mengharapkan supaya turun ayat (perintah) hijab. Memang, sesudah itu turun ayat hijab.

24  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 2. Hadis Nombor 0752.
Dari Anas bin Malik r.a., katanya: "Abu Thalhah al Anshari adalah seorang kaya Madinah yang banyak mempunyai kebun kurma. Di antara kebun yang paling disukainya, ialah kebunnya di Bairuha yang berhadap-hadapan dengan masjid. Rasulullah sendiri pernah masuk ke kebunnya itu dan minum air tawar yang ada di situ. Anas menceritakan, ketika turun ayat: Lan tanaaJuul birra hatta tunfiquu mimmaa tuhibbun . . . . . (hingga akhir ayat), Abu Thalhah pergi menemui Rasulullah dan berkata, "Ya, Rasulullah! Allah tabaaraka wa ta'aalaa telah berfirman: Sekali-kali tidak kamu capai kebaikan sehingga kamu infakkan (sedekahkan) apa-apa yang kamu kasihi. Sesungguhnya hartaku yang paling ku kasihi ialah kebunku di Bairuha. Maka kerana itu kebunku itu aku sedekahkan kerana Allah, semata-mata kerana mengharapkan kebaikannya dari Allah. kerana itu, ya, Rasulullah! Berikanlah kebunku itu ke mana saja Allah menghendakinya." Jawab Rasulullah saw., "Wah! Itulah harta yang paling menguntungkan. (diucapkan beliau dua kali). Telah aku dengar apa yang kamu inginkan. Aku berpendapat, lebih baik engkau serahkan kebunmu itu kepada keluargamu." Kata Abu Thalhah, "Saya laksanakan, Ya, Rasulullah!" Kemudian Abu Thalhah membahagi-bahagikan kebunnya itu kepada keluarga serta anak-anak pakciknya."

25  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1246.
Dari Anas r.a., katanya: Ada orang mengatakan kepada Nabi s.a.w. "Mohon tuan datangi Abdullah bin Ubaiyy". Lalu Nabi s.a.w. berangkat untuk menemuinya dan beliau mengenderai keldai. Orang-orang Islam turut berangkat berjalan bersama dengan beliau sedangkan di situ tanah kering. Waktu Nabi s.a.w. datang kepadanya, ia berkata: "Menghindarlah tuan dari saya! Demi Allah, sesungguhnya saya merasa sakit kerana bau busuk keldai tuan". Seorang laki-laki dari orang Ansar di antara mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya keldai Rasulullah s.a.w. lebih harum baunya dari engkau". Seorang laki-laki dari kaum Abdullah lalu marah. dan keduanya saling memaki-maki dan saling bermarahan. Lalu keduanya berpukul-pukulan dengan pelepah kurma, tangan, dan terompah. Kemudian sampai kepada kami, ayat yang diturunkan ertinya: "Dan kalau dua golongan dari orang mukmin berperang-perangan, maka hendaklah kamu damaikan antara keduanya". (Surat Al Hujurat, 9)

26  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 3. Hadis Nombor 1575.
Dari Abu Saad bin Mu'alla r.a., katanya: Ketika saya sedang solat dalam masjid, Rasulullah s.a.w. memanggil saya. Tetapi tiada saya sahuti. Kemudian saya berkata: "Wahai Rasulullah, Rasulullah! Saya tadi sedang solat. Beliau bersabda: "Bukankah Tuhan berfirman: "Sahutlah Allah dan Rasul apabila dia memanggil kamu!" Kemudian beliau mengatakan kepada saya: "Nanti ku ajarkan kepada engkau suatu surah yang amat besar dalam Al Quran sebelum engkau keluar dari masjid". Kemudian beliau memegang tangan saya. Setelah beliau hendak ke luar saya mengatakan kepada beliau:"Bukankah tuan menjanjikan akan mengajarkan kepada saya suatu surah yang amat besar dalam Quran?" Beliau bersabda: "Surat itu ialah: Alhamdulillahi Rabbil'alamin. Itulah sab'ul matsani (tujuh ayat yang diulang-ulang) dan Quran besar yang diberikan kepada saya".

27  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0130.
Abdullah bin Abbas r.a. menceritakan, bahawa pada suatu malam dia bermalam di rumah Maimunah, isteri Nabi saw. (adik ibu Abdullah), katanya: "Saya tidur melintang bantal sedang Rasulullah dan isteri beliau membujur. Rasulullah tidur hingga pertengahan malam, atau sedikit lebih kurang. Kemudian beliau bangun, duduk sambil menggosok matanya dengan tangan untuk menghilangkan mengantuk. Sesudah itu beliau membaca sepuluh ayat pengujung surah Ali Imran. Kemudian beliau berdiri, dan melangkah ke sebuah tempat air yang tergantung. Beliau berwuduk dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian beliau berdiri untuk melakukan solat." Kata Ibnu Abbas selanjutnya, "Aku berdiri pula, dan berwuduk seperti yang dilakukan beliau. Sesudah itu aku berdiri di samping beliau. Beliau meletakkan tangan kanannya di kepala ku, menarik telinga ku yang kanan dan memilinnya (menyuruh pindah dari kiri ke kanan beliau). Lalu Nabi solat dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, sesudah itu dua rakaat, dan sesudah itu dua rakaat (6 x 2 rakaat), kemudian beliau solat witir (ganjil bilangan rakaatnya). Kemudian beliau berbaring kembali, hingga datang Muazzin (Bilal, memberitahukan subuh telah datang); lalu beliau berdiri dan solat sunat yang ringkas dua rakaat. Sesudah itu beliau pergi ke masjid untuk solat Subuh. "

28  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1978.
Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Kaum Ahli Kitab membaca Taurat dalam bahasa Ibrani dan diterangkannya dalam bahasa Arab untuk pemeluk agama Islam. Lalu Rasulullah saw. bersabda: "Jangan kamu benarkan Ahli Kitab itu dan jangan pula kamu dustakan, melainkan ucapkanlah: "Kami percaya kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada kamu sampai akhir ayat.

29  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 1. Hadis Nombor 0414.
Dari Abi Mamar r.a., katanya: Kami bertanya kepada Khabbab, "Adakah Nabi saw. membaca (ayat) dalam solat Zohor dan Asar?" Jawabnya, "Ada!" Tanya ku, "Bagaimana kamu dapat mengetahuinya?" Jawabnya, "Dari gerakan janggutnya. "

30  
Hadis Sahih Bukhari Jilid 4. Hadis Nombor 1670.
Dari Abu Sa'id aI-Khudri r.a., sejumlah sahabat Nabi saw. datang ke salah satu desa orang Arab dan mereka tidak diterima sebagai tamu. Ketika mereka dalam keadaan demikian, pemimpin penduduk desa itu disengat binatang. Orang desa itu bertanya: "Adakah kamu mempunyai ubat atau adakah di antara kamu yang pandai membaca mentera?" Para sahabat menjawab: "Kamu tidak mahu menerima kami sebagai tetamu, Kami tidak akan mengubatinya sebelum kamu memberikan sesuatu kepada kami." Mereka lalu memberikan beberapa ekor kambing. Lalu salah seorang dari mereka membaca Ummul Quran (al-Fatihah), setelah itu mengumpulkan air ludahnya di mulutnya dan meludahi yang sakit itu. Orang itu lalu sembuh. Mereka menyerahkan kambing. Para sahabat berkata: "Kami tanya dahulu kepada Nabi saw., baru kami ambil." Lalu mereka pergi bertanya kepada beliau. Beliau tertawa dan berkata: "Siapa yang memberitahukan kepada mu bahawa ayat itu mentera? Ambillah kambing itu dan beri saya sebahagian!"